Angkasawan Malaysia

Monday, May 12, 2008

Seramik, elektronik, logam, polimer - Empat bahan dominasi dunia











MANUSIA telah melalui tiga zaman yang berbeza iaitu Zaman Batu, Zaman Tembaga dan Zaman Besi. Walaupun kini dikatakan zaman teknologi maklumat, (IT), kita sebenarnya berada dalam Zaman Bahan atau Material Age.
Sama ada kita sedar atau tidak, sejak lebih 30 tahun lalu, ciptaan bahan-bahan baru bukan sahaja telah mengubah hidup kita tetapi juga ekonomi global dan persekitaran hidup.
Lihat sahaja di sekeliling anda. Hampir semua barang yang kita gunakan kini adalah hasil rekabentuk atau pengubahsuaian bahan-bahan yang sedia ada di dunia ini. Kenapa sekarang dikatakan Zaman Bahan?
Untuk memahaminya, terlebih dahulu anda perlu memahami apa sebenarnya yang dikatakan bahan.
Sebenarnya, bahan adalah benda asas yang kita gunakan dalam kehidupan seharian.
Bahan ini sama ada dalam bentuk semula jadi ataupun yang dicipta manusia dihasilkan oleh mana-mana industri yang boleh anda fikirkan.
Contohnya automotif, aeroangkasa, kimia, komputer, elektronik, penghasilan makanan, pakaian, bioperubatan dan sebagainya.
PENGHASILAN jantung tiruan yang kompleks membantu menyelamatkan nyawa pesakit.
Malah komputer, automobil, bangunan, telefon selular, organ buatan dan kapal angkasa semuanya dibuat daripada bahan-bahan asas yang telah menjalani proses modifikasi atau diperbaharui.
Secara umumnya, bahan boleh dibahagikan kepada empat kategori utama:
SeramikSeramik adalah sebahagian daripada hidup kita. Contoh mudah ialah cawan yang anda gunakan untuk minum kopi.
Cawan adalah produk tradisional seramik. Selain cawan, produk seramik juga meliputi bahan binaan seperti konkrit, batu-bata dan juga gelas.
Tetapi kini, kemajuan dalam sains bahan telah membolehkan seramik digunakan untuk kegunaan-kegunaan lain termasuklah membawa manusia ke angkasa lepas.
Kini, seramik juga digunakan untuk menghasilkan bahagian-bahagian enjin, peralatan-peralatan bioperubatan dan juga alat komunikasi berkelajuan tinggi.
Bioseramik untuk implan perubatan, elemen seramik untuk integrasi elektronik dan juga kepingan kalis haba untuk kapal angkasa juga menggunakan seramik sebagai bahan asasnya.
Elektronik dan Bahan Fotonik (Photonic)Mudah untuk mengenali bahan jenis ini. Anda hanya perlu fikirkan barang-barang yang menggunakan cip untuk menggerakkannya.
Bahan ini boleh dalam bentuk organik, kristal atau amorphous dan juga logam, seramik, gelas serta plastik.
Kebanyakan bahan elektronik dan fotonik ini disambungkan secara atom ke atom.
Bahan ini sebenarnya adalah ciri utama dalam Zaman Informasi yang kita sedang tempohi sekarang.
Ia digunakan dalam komputer, sistem telekomunikasi, mesin faks, mesin fotostat, pemain cakera padat dan kamera video.
PRESTASI kereta Formula 1 dipengaruhi oleh bahan-bahan asas yang digunakan.
LogamLogam digunakan sejak beribu-ribu tahun lalu malah ia memainkan peranan utama dalam pembangunan tamadun manusia.
Logam adalah bahan serba guna. Kuat, tahan lama, magnetik dan konduktif menjadikan logam boleh dipelbagaigunakan.
Hari ini, dengan pelbagai teknik baru dan juga peralatan yang semakin canggih, logam telah berubah peranan dan bentuknya.
Logam superplastik boleh digunakan untuk menghasilkan barangan yang berbentuk kompleks.
Terdapat juga logam serbuk yang digunakan untuk suntikan acuan barangan rumah, barangan pertanian, dan alat-alat automobil.
Pakaian untuk angkasawan dicipta daripada bahan polimer.
PolimerSecara mudahnya, polimer atau plastik adalah sains molekul-molekul besar (makromolekul) yang terbentuk daripada molekul-molekul kecil yang boleh dicantumkan dalam pelbagai cara.
Terdapat pelbagai jenis polimer yang digunakan untuk membuat pelbagai jenis barangan daripada yang semudah-mudahnya seperti butang baju, zip, barang mainan, barangan-barangan elektrik hinggalah kepada peralatan untuk kegunaan industri kapal angkasa.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home