Penguasaan S&T sebaris pencapaian negara maju
KEJAYAAN melahirkan angkasawan pertama negara iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha pada hari bersejarah tanggal 21 Oktober tahun lalu mencatatkan era baru perkembangan sains dan teknologi (S&T) di negara ini.
Misi penyelidikan selama lapan hari mengenai sel kanser, sel mikrob (bakteria) dan penghabluran protein di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) itu juga melonjakkan nama negara sebaris dengan negara-negara maju lain dalam meningkatkan penguasaan ilmu S&T.
Ia juga membuka lembaran yang lebih cemerlang tidak hanya kepada bidang kajian angkasa di negara ini, malah bidang-bidang S&T lainnya yang turut menerima suntikan perkembangan kajian yang lebih maju dan berteknologi tinggi.
Pastinya kejayaan yang cukup membanggakan itu tidak berlaku sekelip mata, sebaliknya ia melalui perjalanan yang sangat jauh seiring dengan komitmen kerajaan dalam memartabatkan bidang berteraskan S&T di negara ini.
Lonjakan kepada perkembangan bidang S&T seperti yang dikecapi oleh negara hari ini banyak direncanakan daripada kesungguhan kerajaan yang meletakkan bidang ini sebagai salah satu bidang tumpuan dalam pembangunan negara.
Dalam mencapai Wawasan 2020 misalnya, kerajaan meletakkan bidang S&T sebagai cabaran keenam di antara sembilan cabaran dengan hasrat membentuk masyarakat Malaysia berasaskan sains yang progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh.
Lebih daripada itu, cabaran S&T itu juga bertujuan melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi hari ini, malah bersama-sama menyumbang kepada pembangunan teknologi masa depan.
Dalam mencapai hasrat itu, kerajaan sejak mencapai kemerdekaan tampil dengan pelbagai pendekatan dan rancangan jangka masa panjang untuk membina empayar S&T.
Langkah tersebut pertama kali dirintis menerusi Dasar Sains dan Teknologi Negara Pertama dan Pelan Tindakan (DSTN1) yang diperkenalkan pada 1986 dan dirangka oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang ketika itu dikenali sebagai Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
Seiring dengan perkembangan dunia yang turut menyaksikan perkembangan bidang S&T baru, kerajaan memperluaskan skop tumpuan terhadap bidang ini dengan melancarkan pula Dasar Sains dan Teknologi Negara Kedua (DSTN2) dan Pelan Tindakan pada 2003.
Pelan tindakan itu antara lain menggariskan tujuh teras strategik pembangunan S&T yang menjurus kepada mempertingkatkan daya tahan dan keupayaan bidang tersebut menerusi peranan yang dimainkan oleh kerajaan dan swasta secara bersama.
Peruntukan
Menyokong kepada DSTN1 dan DSTN2 itu adalah sejumlah peruntukan oleh kerajaan khusus untuk pembangunan bidang S&T menerusi rangka pembangunan lima tahun negara iaitu Rancangan Malaysia.
Sebagai contoh, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berlangsung sepanjang 2006-2010 memperuntukkan sebanyak RM5.3 bilion untuk inisiatif sains, teknologi dan inovasi dan RM11.9 bilion untuk perkhidmatan berkaitan Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT).
Malah, dalam hasrat menarik pihak swasta bersama-sama memajukan bidang S&T juga, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM20 bilion sebagai inisiatif pembiayaan swasta.
Bagi memusatkan aktiviti S&T itu pula, pelbagai agensi, institusi, jabatan dan pertubuhan berteraskan bidang ilmu ditubuhkan dan antara yang memikul tanggungjawab pelaksanaan yang besar adalah Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT).
MiGHT ditubuhkan dengan objektif menentukan hala tuju pembangunan industri melalui aplikasi strategik S&T untuk pembangunan negara.
Ia termasuk menyediakan input kepada kerajaan bagi menyediakan dasar, mengenal pasti penyelidikan yang perlu diberi keutamaan untuk sektor awam dan swasta, penggerak dan mengurus usaha-usaha teknologi dan menyediakan arah strategik untuk pembangunan sumber manusia ke arah teknologi berdaya saing.
Hakikat bahawa sebuah negara berteraskan pengetahuan dalam bidang S&T tidak boleh dicapai sekiranya negara tidak mampu melahirkan penyelidik di kalangan anak bangsa sendiri turut menuntut perhatian yang penuh daripada kerajaan.
Dalam mencapai sasaran menambah nisbah saintis, penyelidik dan jurutera dalam bidang S&T yang kini berjumlah 26 orang bagi setiap 10,000 tenaga kerja, kerajaan menerusi MOSTI khususnya, tampil dengan beberapa program dalam memupuk budaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) di kalangan rakyat.
Ia termasuk memperkenalkan tiga bentuk geran seperti yang diumumkan dalam RMK-9 antaranya Geran TeknoFund khusus untuk Industri dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berjumlah RM1.5 bilion.
Dua lagi geran lain ialah Geran ScienceFund untuk IPTA/IPTS dan institusi penyelidikan berjumlah RM1.2 bilion yang turut memperuntukkan penyelidik yang layak dengan royalti bagi R&D yang dikomersialkan serta Geran InnoFund yang dikhaskan untuk industri kecil dan sederhana, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah RM200 juta.
Kesemua geran-geran R&D yang dipohon itu turut mengambil kira kos mempaten penyelidikan yang dijalankan sekali gus meletakkan negara di landasan yang tepat dalam mencapai nisbah 60 orang penyelidik dalam 10,000 tenaga kerja menjelang 2020.
Dalam membincangkan agenda negara membangunkan bidang S&T ini, ia tidak dapat mengelak daripada menyentuh tumpuan yang diberikan oleh kerajaan kepada bidang-bidang baru yang turut menjadi keutamaan negara-negara maju lain.
Salah satunya adalah bidang bioteknologi yang konsep penyelidikannya sangat bertepatan dengan usaha kerajaan menambah baik industri pertanian mencakupi sektor penternakan dan perladangan.
Bioteknologi yang dikenalpasti sebagai salah bidang ekonomi baru ini turut digerakkan di bawah dasar bertaraf nasional iaitu Dasar Bioteknologi Negara yang salah satu terasnya adalah penubuhan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (MBC) yang bertanggungjawab dalam pembangunan sektor tersebut. Malah, dalam RMK-9 juga, bidang bioteknologi turut menerima peruntukan berjumlah RM2.021 bilion.
Dengan segala perancangan dan inisiatif yang ditumpukan oleh kerajaan dalam meningkatkan kemampuan negara menguasai setiap cabang ilmu S&T ketika ini, hasrat negara untuk mencapai status negara maju diyakini mampu dicapai lebih awal sebelum menjelangnya 2020.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home