Angkasawan Malaysia

Tuesday, January 29, 2008

Budayakan penyelidikan

RAMAI yang terkejut apabila Proton mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan semula selepas rakan kongsi Jepun meninggalkannya.
Tidak sampai sebulan pelancaran model baru Saga, sejumlah 23,000 buah model tersebut ditempah. Inilah antara bukti pentingnya usaha Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam pembangunan negara. Ia bukan sekadar dalam industri teknologi malah meliputi segenap bidang.
Memang telah banyak usaha penyelidikan dan pembangunan dilakukan di negara ini. Apatah lagi dengan bercambahnya institusi pengajian tinggi merancakkan lagi usaha tersebut. Pada masa yang sama terdapat banyak agensi swasta, badan pertubuhan bukan kerajaan, agensi antarabangsa dan pelbagai lagi yang begitu aktif melakukan penyelidikan dalam pelbagai bidang seperti sains, kejuruteraan dan sains sosial.
Malah, penghantaran angkasawan Malaysia ke Pusat Kajian Antarabangsa (ISS) adalah sebagai sebahagian daripada usaha penyelidikan. Semua ini memberi mesej bahawa penyelidikan amat penting kepada kemajuan negara.
Negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Korea telah lama menjalankan usaha penyelidikan. Usaha tersebut berterusan sehingga ke hari ini. Di Malaysia, biarpun banyak usaha penyelidikan dilakukan tetapi ia belum sampai ke tahap menjadi suatu budaya.
Kebanyakan penyelidikan yang dilakukan adalah bercorak formal. Kebanyakan penyelidikan hanya dilakukan apabila adanya geran penyelidikan. Hal ini kerana penyelidikan memerlukan kos yang tinggi. Justeru, penyelidikan hanya menjadi satu tugasan, bukannya kebiasaan.
Universiti merupakan tempat pembudayaan penyelidikan secara formal. Ia seharusnya berkembang menyeluruh ke semua institusi formal sehingga ke tahap institusi pendidikan yang terendah. Usaha membudayakannya adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang berfikir dan mempunyai kematangan berfikir.
Selaras dengan pembudayaan secara formal, pembudayaan secara informal juga amat penting diberi perhatian. Ia merupakan suatu usaha secara tidak langsung yang dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan, persatuan, institusi keagamaan dan termasuklah institusi keluarga tidak mempunyai pelan yang strategik. Menerusi cara ini ia berupaya akan sampai ke akar umbinya iaitu masyarakat.
Pembudayaan penyelidikan secara non-formal iaitu menerusi kursus-kursus singkat tidak berlaku secara menyeluruh. Ia banyak bergantung kepada prioriti sesebuah agensi. Latihan dalam penyelidikan tidak begitu popular dalam usaha pembangunan pekerja. Maka apabila berlakunya masalah dalam sesebuah organisasi, kakitangan terpaksa berhadapan dengan masalah pemberhentian secara sukarela.
Sepatutnya, dengan membudayakan penyelidikan, masyarakat sendiri akan sedar ke arah manakah sesuatu industri berkembang. Maka, apabila Malaysia berhadapan dengan cabaran-cabaran besar seperti cabaran ekonomi, politik, hubungan luar dan sosial, masyarakat tidak mudah panik. Pastinya mentaliti kelas satu dapat dibentuk menerusi pembudayaan penyelidikan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home