RazakSAT dilancar September
SHAH ALAM 17 April - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mencadangkan agar satelit mikro kedua negara, RazakSAT dilancarkan antara 31 Ogos hingga 16 September ini.
Menterinya, Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, tempoh yang dicadangkan itu adalah bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
Beliau berkata, tempoh tersebut juga bertepatan dengan slot yang ditetapkan oleh Space Exploration Technology (SpaceX) Amerika Syarikat (AS).
"Kita akan bincang perkara ini dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi kerana perlu membuat persediaan awal terutama dari segi pengangkutan, susun atur dan tarikh sebenar pelancaran," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB) di sini hari ini, katanya, beliau yakin dengan kesungguhan warga syarikat itu yang bertanggungjawab dalam penerokaan angkasa lepas akan membolehkan pelancaran tersebut dilakukan dengan jaya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ATSB, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad.
RazakSAT sepatutnya dilancarkan akhir tahun lalu tetapi ditunda berikutan masih tiada slot yang sesuai ditetapkan bagi pelancarannya. Ia dibina dengan kos RM127 juta dan akan dilancarkan ke orbit menggunakan kenderaan pelancar Falcon-1 milik SpaceX dari Kwajelein di Kepulauan Marshall.
SpaceX adalah syarikat yang ditauliahkan untuk melepaskan satelit itu ke angkasa lepas.
ATSB, syarikat pelopor dan peneraju dalam pembangunan satelit di Malaysia menjadi penyedia logistik kepada angkasawan untuk mendapatkan rekod masa lalu manakala projek lain membabitkan Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia dan penyediaan operasi mikro satelit negara yang pertama iaitu TiungSAT-1.
Dalam pada itu, Ahmad Sabirin berkata, teknologi satelit yang dibangunkan ATSB bukan saja untuk kegunaan satelit RazakSAT malah ia berjaya menarik perhatian syarikat aeroangkasa AS untuk membelinya.
Beliau berkata, ATSB juga akan membekalkan peralatan komponen untuk dua satelit mini Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS dan dua 'cubeSAT' milik Malaysia yang dijadual dilancarkan oleh pelancar AS, Falcon 1, juga dari Kepulauan Marshall, Jun ini.
2 Comments:
RazakSAT bakal dilancar dengan roket Falcon-1 syarikat SpaceX... tapi setakat ni roket tu masih gagal ke orbit setelah 3 kali lancar. 2 kali uji, satu lagi operational dengan muatan satelit Amerika. Stage 1 okay aje, tapi stage 2 tak lepas, dalam ketiga-tiga kes.
Khuatir jugak pasal satelit kita ni... roket pelancarnya 0% berjaya...
Ya, mungkin kerana itu
Post a Comment
<< Home