Krew ISS tidak bimbang AS tembak satelit
HOUSTON 17 Feb. – Krew Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) tidak bimbang dengan rancangan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk menembak jatuh sebuah satelit pengintip AS yang rosak dan membawa bahan bakar toksik.
Komander ISS, Peggy Whitson semalam berkata, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan Jabatan Pertahanan “mengasihi krew stesen itu” dan tidak akan meletakkan mereka dalam bahaya.
“Kami tidak bimbang mengenainya,” kata Whitson semasa sidang media untuk membincangkan kerja yang dilakukan baru-baru ini oleh krew 10 anggota terdiri daripada angkasawan ISS dan kapal angkasa Atlantis.
Tentera berharap untuk memusnahkan satelit itu seawal minggu depan sejurus sebelum ia memasuki atmosfera Bumi, dengan sebuah peluru berpandu yang dilancarkan dari kapal tentera laut AS di utara Lautan Pasifik.
Whitson, angkasawan Yuri Malenchenko dari Rusia dan angkasawan Perancis, Leopold Eyharts akan terus berada dalam orbit 345 kilometer di atas Bumi apabila peluru berpandu itu dilancarkan.
Satelit berkenaan akan berada kira-kira 240 kilometer di atas Bumi apabila pelancaran dilakukan.
Belum jelas jarak antara ISS dengan satelit tersebut apabila ia ditembak jatuh nanti.
NASA meminta wartawan mengajukan soalan kepada Jabatan Pertahanan yang belum membalas mesej meminta penjelasan.
Sementara itu Atlantis dan tujuh angkasawannya dijadual sudah selamat pulang ke Bumi sebelum Pentagon melancarkan peluru berpandu.
Jika dibiarkan, satelit itu dijangka terhempas ke Bumi pada minggu pertama bulan depan.
Kira-kira separuh daripada satelit 2,268 kilogram itu dijangka tidak terbakar apabila merentasi atmosfera dan akan bertaburan di kawasan seluas beberapa ratus kilometer persegi.
Pegawai tentera dan pentadbiran berkata, satelit itu membawa bahan bakar hidrazin yang boleh mencederakan atau membunuh orang yang berada berhampirannya apabila ia terhempas ke Bumi.
– AP
0 Comments:
Post a Comment
<< Home