Angkasawan Malaysia

Tuesday, April 22, 2008

Rusia sedia bantu bina pusat pelancaran roket

KUALA LUMPUR 22 April - Agensi pengeksport peralatan pertahanan Rusia, Rosoboronexport bersedia membantu Malaysia mewujudkan pusat pelancaran roket ke angkasa lepas dan melaksanakan misi menghantar angkasawan kedua negara.
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Persekutuan Tentera-Teknikal Rusia, Mikhail Petukhov berkata, kedua-dua misi itu boleh dibuat melalui program timbal balas jika pihaknya memperoleh kontrak penjualan peralatan pertahanan dengan Malaysia pada masa hadapan.
''Ini boleh dibuat jika Rosoboronexport dan Rusia secara amnya, memperolehi kontrak penjualan persenjataan dengan Malaysia.
''Ia bakal menjadi kenyataan sekiranya terdapat pula tanggungjawab pihak kami untuk melaksanakan program timbal balas seperti pembelian pesawat Sukhoi dengan penghantaran angkasawan pertama Malaysia dahulu," katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2008 di sini hari ini.
Hadir sama Duta Rusia ke Malaysia, Alexander Karchava, Ketua Pengarah Rosoboronexport, Anatoly Isaikin dan Pengarah Projek Khas Rosoboronexport, Nikolai Dimiduk.
Cadangan supaya Malaysia mempunyai pusat pelancaran roket sendiri dibuat oleh Ketua Eksekutif Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB), Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad Disember tahun lalu melibatkan lokasi sama ada di Tawau, Sabah atau Terengganu.
Menurut Ahmad Sabirin, kawasan berkenaan dipilih kerana berhampiran laut dan tiada penduduk bagi mengelak perkara tidak diingini ketika pelancaran.
Program penghantaran angkasawan kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang melibatkan Mejar Dr. Faiz Khaleed sehingga kini belum dapat disahkan berikutan tiada sebarang peruntukan disediakan oleh kerajaan.
Dimiduk menambah, Rusia yang diwakili Rosoboronexport berharap Malaysia akan mendapatkan sistem pertahanan udara jarak sederhana jenis Buk-M2E atau Pantsyr-S1 daripada pihaknya.
Katanya, Pantsyr-S1 boleh mencapai sasaran sehingga 20 kilometer (km) manakala Buk-M2E pula sejauh 40 km dan mampu mewujudkan cegah-rintang (deterrent) kepada musuh luar.
Dalam perkembangan lain, Karchava berkata, Rosoboronexport tidak mempunyai kuasa untuk menjual kapsul Soyuz- TMA 11 yang membawa angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan pulang ke bumi.
''Penjualannya agak kompleks. Saya tahu permintaan ini agak signifikan dengan sejarah negara anda tetapi ia melibatkan Agensi Hartanah Luar Negara Rusia," jelasnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home