Galakkan Muslim minat angkasa
PADA zaman kegemilangan Islam, maksudnya semasa pemerintahan Khalifah Abasiah, muncul banyak ilmuwan Islam yang mengkaji astronomi. Mereka membuat perkiraan dan mencerap angkasa.
Tetapi apa yang berlaku sekarang, umat Islam jauh ketinggalan dalam bidang kajian angkasa. Apa yang dilakukan sekarang hanyalah menceritakan kehebatan ilmuwan Islam silam sementara orang Islam yang benar-benar membuat kajian tentang angkasa hanyalah segelintir di mana mereka mempelajari daripada universiti-universiti Barat.
Sementara masyarakat Islam masih jauh kurang meminati tentang kajian angkasa. Apa yang ada termasuk di negara ini hanyalah ilmu falak yang lebih berupa pengiraan untuk menentukan waktu sembahyang dan anak bulan. Itu bukannya astronomi sebenar, jauh sekali kajian angkasa.
Penglibatan tentang astronomi masih berada di tahap pelajaran sekolah. Sementara program angkasawan lebih berupa sebagai peneroka atau penumpang kapal angkasa bukannya pengkaji angkasa.
Sedangkan bidang astronomi dan kajian angkasa tidak terhad kepada pelajaran di universiti atau agensi kerajaan, ia memerlukan pembabitan peminat astronomi amatur yang besar.
Perkara itu tidak ada di kalangan umat Islam. Malah umumnya umat Islam termasuk dalam negara ini masih terbelenggu dengan pemikiran tahyul tentang angkasa.
Peristiwa agama seperti Israk Mikraj dikaitkan dengan pemahaman mengenai angkasa. Sedangkan konsep-konsep langit ketujuh dan Sidratul Muntaha adalah kesemuanya bernilai keagamaan serta tidak berkait dengan astronomi atau kajian angkasa. Tetapi umat Islam cenderung untuk keliru dan mencampur-adukkannya dengan astronomi.
Malah kepercayaan tradisi mengenai angkasa masih membelenggu umat Islam. Komet, meteor dan gerhana dikaitkan dengan perkara-perkara yang karut-marut. Maka kesedaran mengenai angkasa menurut pemahaman sains moden wajar diperkenalkan. Kosmologi berasaskan kepada fizik terkini patut digalakkan pemahamannya di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Bagaimanapun, masalah kekurangan minat terhadap astronomi di kalangan umat Islam berkait rapat dengan pamahaman sains pada keseluruhannya. Adalah menjadi kecenderungan umat Islam untuk menggunakan sains dan teknologi untuk kekuatan politik, ekonomi, pertahanan atau kebanggaan semata-mata.
Tetapi pemahaman sains bukan untuk itu. Ia juga bukan untuk industri tetapi adalah merupakan sebahagian daripada tamadun dalam mencari makna kewujudan.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home