Angkasawan Malaysia

Thursday, August 11, 2005

Bahan penebat Discovery tertanggal disiasat

WASHINGTON 10 Ogos - Nasib program kapal angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) kini bergantung kepada laporan beberapa pasukan penyelidik yang ditugaskan untuk mengenal pasti punca empat kepingan besar bahan penebat tertanggal daripada tangki bahan bakar kapal angkasa Discovery.
Mereka diberi tanggungjawab itu oleh Pentadbir Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Michael D. Griffin.
Pasukan jurutera daripada NASA dan kilang pemasangan Michoud milik syarikat Lockheed Martin di Louisiana, tempat tangki itu dibuat, dijadual mengemukakan laporan tersebut awal semalam kepada Griffin dan pengurus stesen angkasa lepas, William H. Gerstenmaier.
NASA telah menjanjikan siasatan telus dan keputusan awal mungkin disiarkan seawal esok.
``Ini langkah pertama dalam usaha kami untuk menerbangkan semula kapal angkasa,'' kata Griffin.
Beliau menambah kehilangan bahan penebat berbusa itu merupakan `satu-satunya masalah yang timbul dalam misi (Discovery) ini.'
Sekeping bahan penebat yang tertanggal menjadi punca Columbia meletup pada Februari 2003 dan dalam tempoh dua tahun setengah penerbangan kapal angkasa digantung.
Pelancaran kapal angkasa Atlantis yang dijadualkan pada September ini turut digantung sehinggalah NASA berpuas hati kehilangan bahan penebat itu tidak akan berulang.
Penyelesaian masalah tersebut perlu dicapai segera jika momentum program itu hendak dikembalikan.
Jika penyelesaian mudah terhadap masalah Discovery tidak dapat dikenal pasti, NASA dan Kongres akan menghadapi keputusan sukar untuk melaburkan masa dan tenaga yang banyak bagi meminda reka bentuk kapal angkasa yang semakin usang itu.
Banyak pihak dalam program angkasa lepas mahu kapal angkasa yang sudah berusia 25 tahun itu `dibersarakan' secepat mungkin.
Sementara itu Discovery yang mendarat dengan selamat di Pangkalan Tentera Udara Edwards di California semalam akan diangkut balik ke pangkalan asalnya di Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida.
NASA akan terpaksa membelanjakan AS$1 juta (RM3.75 juta) untuk mengangkut Discovery dengan menaiki sebuah jet Boeing 747. - Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home