Keselamatan lemah punca nahas pesawat Columbia
KISAH tragik yang menimpa kapal angkasa Columbia dalam misinya mengelilingi bumi menarik perhatian banyak pihak.
Pelbagai spekulasi dibuat mengenai kemalangan yang mengorbankan semua tujuh orang anak kapalnya yang terdiri daripada golongan profesional.
Beberapa lembaga penyiasat ditubuhkan bagi menyiasat apa yang sebenarnya berlaku apabila pesawat berkenaan meletup selepas 82 saat dilancarkan.
Kisah bermula apabila kapal angkasa Colombia dibawa ke pad 39-A bagi misinya yang ke-28 pada 9 Disember 2002.
Pesawat Columbia telah berada di sana selama 38 hari dan dalam tempoh berkenaan hujan telah turun sebanyak 32 sentimeter di Florida.
Keadaan cuaca cerah semasa Columbia berada di sana tanpa menunjukkan sebarang masalah.
``Kemalangan yang menimpa Columbia merupakan kesilapan teknikal dan manusia,'' kata salah seorang panel penyiasat nahas Columbia, Profesor Dr. Douglas D. Osheroff semasa menyampai ceramah bertajuk `Memahami Kemalangan Kapal Angkasa Columbia' di Putrajaya baru-baru ini.
Tambahnya, Colombia dikatakan terlalu berat untuk mengambil bahagian dalam pembinaan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan tidak dilengkapi dengan perkakasan untuk mendarat di dok ISS.
Sebagai Pengerusi Jabatan Fizik di Universiti Stanford, Prof. Osheroff telah menjalankan pelbagai kajian mengenai fizik suhu rendah.
Kapal angkasa Colombia dilancarkan pada 10.39 waktu tempatan pada 16 Januari 2003.
``Saya masih ingat ketika itu cuaca cerah di Cape Canaveral dan suhu semasa pelancaran adalah 19C,'' katanya yang merupakan pemenang Hadiah Nobel Fizik 1996.
Columbia membawa tujuh orang krew yang berdedikasi dan merupakan tenaga pakar.
``Rick Husband merupakan seorang komander dan Bill McCool seorang juruterbang,'' tambah Prof Osheroff.
Manakala yang lain merupakan tenaga pakar terlatih bagi eksperimen yang akan mereka jalankan.
Terdapat juga krew antarabangsa, iaitu Chowla yang dilahirkan di India dan Ramon merupakan seorang kolonel dalam tentera udara Israel.
``Tapi malangnya mereka semua terkorban dalam nahas berkenaan,'' kata Prof. Osheroff.
Selepas 82 saat Columbia dilancarkan beberapa pemerhati dan media berjaya merakamkan kemalangan yang berlaku.
Setelah meneliti video pelancaran berkenaan, jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendapati terdapat objek seakan-akan bongkah ais tertanggal daripada Tangki Bahan Api Luar (ET).
``Kejadian berkenaan berlaku selama 0.16 saat dan Columbia ketika itu bergerak pada 700 meter sesaat,'' tambah Prof. Osheroff.
Mengikut parameter yang diberikan, beliau berkata, ``Kita boleh mengira kelajuan di mana bongkah ais menghentam Columbia menggunakan hanya teori fizik sekolah menengah kita mendapati yang busa berkenaan beratnya 0.75 kg.''
Prof. Osheroff menambah, jurutera yang ditemui semasa penyiasatan dilakukan tahu mengenai perkara berkenaan.
``Bagaimanapun menurut mereka NASA tidak mengambil berat mengenainya dan menurut mereka ia tidak membahayakan orbiter,'' tambahnya.
Malah para jurutera meminta Jabatan Pertahanan mengeluarkan gambar sayap kiri Columbia malangnya permintaan mereka tidak dilayan.
Manakala radio teleskop menunjukkan Columbia berada di Caltech Owen Valley Observatory tetapi tidak dapat dipastikan semasa pesawat berada di Sorroco, New Mexico.
``Sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat kemalangan berkenaan iaitu Lembaga Penyiasatan Kemalangan Columbia (CAIB) yang terdiri daripada sembilan orang tetapi kemudian empat orang profesor universiti ditambah mengikut kepakaran masing-masing,'' kata Prof Osheroff.
Selepas kemalangan, puing-puing yang dikutip dibawa ke Pusat Angkasa Kennedy dan disusun di atas lantai seperti sebuah pesawat dan didapati hanya sedikit saja bahagian sayap kiri ditemui berbanding kanan.
Menurut Osheroff, pencarian puing-puing sungguh mengkagumkan.
``Selama 1.5 juta jam masa diambil untuk melakukannya dalam keluasan 4,000 kaki persegi kawasan carian secara manual.
Manakala 9,000 lagi dicari secara manual dan udara,'' katanya.
Jumlah berkenaan terlalu kecil dibandingkan dengan puing-puing yang ditemui pada pesawat komersial.
CAIB hanya mempunyai 13 ahli lembaga tetapi kakitangan teknikal seramai 120 orang menjalankan kerjanya dengan dedikasi.
Manakala NASA mempunyai lembaga penyiasat mereka sendiri dengan struktur yang berlainan.
``Kami mendapati terdapat beberapa bukti bagi membantu menentukan sebab-sebab fizikal kemalangan berkenaan antaranya melalui misi kawalan komunikasi dan telemetri.''
``Puing fizikal yang boleh menceritakan bagaimana Columbia mengalami kemalangan dan pemerhatian stesen bumi serta imej radio boleh memberikan beberapa petanda,'' katanya lagi.
Rakaman video semasa pelancaran diambil daripada pelbagai sudut manakala kotak kelabu yang menunjukkan kemalangan Columbia berlaku lebih awal ditemui di Pasifik.
Kegagalan pentadbiran NASA mengambil langkah sewajarnya dan telah membawa kepada nahas memberikan tekanan kepada mereka.
Sebelum ini NASA tidak pernah mengkategorikan sub sistem pesawat dan punca kemalangan tidak dapat dikenal pasti. Tambahan pula pihak pengurusan tidak mengendahkan amaran jurutera mengenai isu keselamatan.
Kebetulan ketika itu pihak pengurusan bimbang dan tertekan mengenai kos dan jadual pelancaran yang seringkali tertunda.
Jurutera yang membuat teguran akan dicap sebagai tidak setia kepada NASA dan selepas keputusan dibuat, jurutera tidak mengeluarkan pendapat mereka.
Pada masa yang sama Sistem Pengangkutan Udara merupakan badan yang tidak berdaya melayan kerenah politik dan perlu membina pesawat dengan perbelanjaan kecil dalam masa singkat.
Bagaimanapun menurut Prof. Osheroff, penghantaran manusia ke angkasa merupakan risiko yang amat besar.
``Sepatutnya NASA mengambil iktibar daripada nahas kapal angkasa Challenger yang berlaku 28 Februari 1986 yang mengorbankan tujuh nyawa,'' katanya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home