Angkasawan Malaysia

Thursday, August 11, 2005

Pelancaran MRO ke Marikh ditangguhkan


CAPE CANAVERAL 10 Ogos - Pelancaran pesawat Mars Reconnaissance Orbiter (Pengorbit Peninjau Marikh) atau MRO yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan selama 24 jam disebabkan masalah dengan roket yang hendak membawanya ke angkasa lepas.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dalam kenyataannya semalam memberitahu, pihaknya menyasarkan pesawat itu akan dilancarkan antara 7.50 pagi hingga 9.35 pagi esok (7.50 malam hingga 9.50 malam waktu Malaysia).
Menurut NASA, terdapat masalah dengan roket Atlas V yang dibuat oleh Lockheed Martin.
Penangguhan pelancaran Pengorbit Peninjau Marikh itu berlaku sehari selepas NASA meraikan kejayaan kapal angkasa lepas Discovery kembali ke Bumi setelah berada di orbit selama 14 hari.
Sementara itu, Pengarah Program Penjelajahan NASA ke Marikh, Douglas McCuistion berkata, pelancaran pesawat itu merupakan persiapan peringkat terkini dalam program NASA untuk menghantar misi angkasawan ke planet tersebut.
``Kami akan menggunakan pelancaran MRO ini sebagai senjata utama untuk mengenal pasti dan menilai lokasi-lokasi terbaik yang boleh dikunjungi oleh angkasawan dalam misi penjelajahan selanjutnya,'' katanya.
MRO yang dibina dengan kos AS$500 juta (RM1.88 bilion) dijadualkan tiba di planet Marikh pada Mac 2006 untuk memulakan misi selama 25 bulan.
Ia akan mengorbit planet itu untuk memeriksa ciri-cirinya dari lapisan atas atmosfera sehingga ke lapisan permukaannya.
Selain itu, ia juga akan bertindak untuk mengkaji struktur dan komposisi planet berkenaan bagi membolehkan ia dijadikan sebagai alat utama untuk perhubungan dalam misi-misi NASA pada masa hadapan.
Pesawat pengorbit itu akan menyusuli kerja yang dijalankan oleh robot-robot pengembara Marikh, iaitu Spirit dan Opportunity yang berada di permukaan planet itu sejak 18 bulan lalu.
Sebuah pesawat modul Phoenix dijadual dilancarkan ke Marikh pada 2007 dan sebuah Makmal Sains Marikh pada 2009. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home