Angkasawan Malaysia

Monday, October 09, 2006

Malenchenko ketuai misi angkasawan negara

MOSCOW 3 Okt. – Soyuz TMA-11, kapal angkasa yang dijadual membawa angkasawan pertama Malaysia menyertai misi ke-16 ke angkasa lepas, bakal diketuai Komander Yuri Malenchenko dari Rusia.
Malenchenko merupakan angkasawan Rusia berpengalaman dan pernah menjadi komander bagi pesawat Soyuz TM-19 pada 1994 serta Soyuz TMA-2 tiga tahun lalu.
Jurutera penerbangan bagi pesawat itu pula ialah Peggy Whitson dari Amerika Syarikat.
Jurucakap Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) berkata, misi angkasawan negara juga akan disertai dua angkasawan lain.
‘‘Dua angkasawan ini akan menggantikan dua rakannya yang sudah berada di orbit selama enam bulan,’’ katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dua calon angkasawan negara, iaitu pegawai perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan doktor gigi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kapten Dr. Faiz Khaleed tiba di Rusia pada 27 September lalu.
Mereka kini ditempatkan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, di sini selama setahun sebagai persediaan untuk ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dijadualkan pada 2 September tahun depan.
Bagaimanapun jurucakap itu menjelaskan, senarai tersebut boleh berubah pada saat-saat akhir sebelum berlepas.
Menurutnya lagi, angkasawan Malaysia akan pulang ke bumi dengan pesawat TMA-10 setelah menjalankan kajian saintifik kira-kira lapan hari di ISS.

.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home