Angkasawan Malaysia

Friday, January 12, 2007

Malaysia sebagai pusat aeroangkasa serantau

AEROANGKASA merupakan satu disiplin yang melibatkan dua jenis aktiviti kenderaan udara iaitu pesawat terbang dan kapal angkasa.
Hari ini, bidang ini menyumbang kepada perkembangan industri berteknologi tinggi, menjana pulangan dan pekerjaan yang bukan sedikit.
Justeru, kerajaan telah menunjukkan komitmen dalam bidang tersebut, genap satu dasawarsa yang lalu dalam bentuk yang lebih terperinci dan komprehensif dengan pewujudan Pelan Induk Pembangunan Industri Aeroangkasa pada 1997.
Susulannya, Majlis Aeroangkasa Malaysia (MAC) pada 2001 ditubuhkan sebagai bukti kesungguhan memacu bidang aeroangkasa dan memahatnya dalam ‘peta industri' negara, satu langkah positif dan memberi impak besar.
Tindakan tersebut amat tepat memandangkan kerajaan melihat adanya potensi mengembangkan bidang aeroangkasa yang menjanjikan pulangan lumayan dan dikenal pasti sebagai salah satu bidang yang mampu meningkatkan daya saing negara.
Malah, berdasarkan Laporan Industri Aeroangkasa Malaysia 2003, bidang tersebut telah menjana sehingga RM12.7 bilion atau 3.6 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain diramal menyumbang sebanyak RM29 bilion menjelang 2015.
Pada 2004 pula, ia mencatatkan pendapatan lebih RM14.3 bilion dengan bilangan pekerja 53,000 orang.
Pada masa sama, penganjuran acara dwitahunan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) sejak 1991 boleh dianggap cetusan awal ke arah pengembangan industri angkasa menjelang dekad-dekad akan datang.
Pada tahun itu juga, kerajaan memilih Eagle pesawat dua tempat duduk yang dibina sepenuhnya menggunakan komposit sebagai langkah awal ke arah pembangunan industri aeroangkasa menerusi pemerolehan teknologi berkaitan.
Namun dua tahun lepas, industri tersebut terus menerima perkhabaran gembira dengan persetujuan Kabinet untuk menerima cadangan Kementerian Pengangkutan supaya Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSSAAS) di Subang dijadikan sebagai sebuah pusat aeroangkasa antarabangsa (IAP).
Pelan konsep IAP itu yang disediakan oleh Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT) dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) itu mempunyai enam kegiatan utama.
Antaranya sebagai pusat penyenggaraan kepada pesawat dan komponen-komponen pesawat awam serta ketenteraan.
Akitiviti terpenting pusat aeroangkasa itu adalah sebagai penempatan kepada syarikat penerbangan am untuk penumpang tempahan serta operasi jet peribadi dan kelab penerbangan dan menjadikannya sebagai ibu pejabat IAP yang menempatkan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan sebagai satu pusat sehenti di situ.
Dalam cadangan itu juga IAP menjadi pusat penempatan helikopter di mana akan dibina hangar, institut penerbangan helikopter, pusat logistik dan pejabat jualan untuk pengilang pesawat selain mewujudkan institusi-institusi latihan yang berkaitan dengan penerbangan awam.
Sementara itu, Pusat Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia (MIAC) yang ditubuhkan di Subang pula berfungsi menjadi pusat industri menyenggara, membaiki dan membaik pulih (MRO) menjelang 2015 yang mana fasa pertama akan bermula tahun depan 2008.
MRO merupakan aktiviti berkaitan penerbangan .yang berorientasikan perkhidmatan dan ia melibatkan lima segmen pasaran penyenggaraan kapal terbang, penyenggaraan berat pesawat, pengubahsuaian pesawat, penaikan taraf dan pembaharuan serta kerja membaik pulih enjin dan komponen.
Pada fasa seterusnya pada 2009 ke 2011, skop kegiatan MRO diperluas kepada pembabitan dalam segmen pasaran baru, pengurusan keperluan pelanggan, pengenalan lebih banyak insentif bagi menarik pelaburan asing dan penyediaan prasarana pemprosesan sekunder yang diperlukan.
Pada fasa ketiga (2011-2015) pula, Malaysia akan memperkukuhkan pasaran dengan keupayaan secara agresif, termasuk memperkukuhkan platform pemasaran dan jualan antarabangsa, memajukan program penggunaan sains kejuruteraan penyenggaraan dan membuat inovasi bagi mengekalkan daya saing.
MiGHT juga sebagai sekretariat akan bertanggungjawab merangka pakej insentif bagi menarik pelaburan ke dalam MIAC.
Pada masa sama MiGHT telah menubuhkan Strategic Technology Evaluation and Resources Sdn. Bhd. (STER), yang menawarkan khidmat perundingan kepada industri aeroangkasa.
Pada pelan induk pembangunan industri aeroangkasa tempatan, terdapat rantaian nilai tambah yang melibatkan aktiviti berkaitan termasuk industri, pembekal, perkhidmatan perniagaan sokongan kritikal, institusi dan infrastruktur diperlukan yang sama-sama saling melengkapi kluster aeroangkasa.
Pada masa yang sama, Malaysia juga telah melancarkan Program Angkasawan 10 Oktober lalu dan ini telah memberi impak besar kepada industri aeroangkasa.
Oleh kerana, satu daripada fokusnya ialah kapal angkasa selain pesawat udara, maka pembuatan kapal angkasa merupakan satu agenda jangka panjang yang tidak kurang penting.
Meskipun ia masih dianggap jauh daripada cita-cita yang ingin dikecapi, Program Angkasawan Negara wajar dilihat titik tolak kepada pembangunan industri aeroangkasa termasuk satelit.
Satu ketika dulu, tidak ramai yang meyakini Malaysia boleh menghantar satelit ke angkasa lepas tetapi pelancaran rangkaian satelit MEASAT, TiungSat dan RazakSat yang dijangka tahun depan, membuktikan tidak ada yang mustahil sekiranya rakyat negara ini menguasai ilmu berkaitan angkasa lepas.
Malah, dengan terpahatnya sejarah Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berjaya ke Stesen Angkasa Antarabangsa ISS, rakyat perlu melihat pembuatan kapal angkasa boleh direalisasikan pada dekad-dekad akan datang dengan syarat pembangunan modal insan juga diperhebatkan.
Melihat dengan lebih jauh lagi, industri aerongkasa sebenarnya memainkan peranan penting dan menyokong perkembangan industri pertahanan dan keselamatan dan mengurus aset dan khazanah sumber asli negara.
Agensi-agensi kerajaan seperti Agensi Angkasa Negara (Angkasa) yang bertanggungjawab ke atas Pusat Angkasa Negara di Banting, Pusat Remote Sensing Negara (Macres) ,Astronautic Technology Sdn Bhd. (ATSB) merupakan antara ‘aset’ yang penting memacu perkembangan industri aeroangkasa.
Program Angkasawan Negara dan LIMA pula sebagai contoh, menjadi penggerak dan memberi kesedaran, mampu mencetuskan minat serta kefahaman orang ramai betapa pentingnya industri aeroangkasa ini.
Empat kumpulan dalam kluster industri aeroangkasa tempatan
Pengeluar
*Ia melibatkan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan yang terbahagi kepada jenis atau komponen yang dikeluarkan termasuk produk akhir, pembekal sistem, kelengkapan, komponen dan bahan.
Pengusaha
*Iaitu organisasi yang terlibat operasi kenderaan dan sistem, perkhidmatan lapangan terbang, penyedia perkhidmatan dan operator satelit.
Pendokong
*Organisasi yang terlibat dalam sistem sokongan secara langsung termasuk aktiviti MRO dan latihan aeroangkasa.
Regulator
*Pertubuhan yang mempunyai kuasa mengawal aktiviti kumpulan-kumpulan yang disebutkan bagi mengurangkan risiko termasuk agensi kerajaan seperti penerbangan awam dan ketenteraan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home