Angkasawan Malaysia

Wednesday, March 12, 2008

Endeavour berlepas ke ISS

CAPE CANAVERAL 11 Mac – Kapal angkasa Endeavour dan tujuh krewnya selamat dilancarkan ke orbit dalam misi angkasa lepas paling lama iaitu 16 hari untuk membina robot dan tambahan sebuah bilik baru yang akan menjadi stor bagi makmal yang akan dibina.
Ia dilancarkan pada pukul 2.28 pagi (pukul 2.28 petang waktu Malaysia), di luar kebiasaan di mana kapal angkasa dilancarkan pada waktu siang.
“Selamat berjaya dan selamat jalan, kita berjumpa lagi di sini dalam masa 16 hari,” kata pengarah pelancaran, Mike Leinbach kepada angkasawan melalui siaran radio sebelum pelancaran.
“Tuhan telah mengurniakan malam yang indah untuk pelancaran kali ini. Leinbach, mulakan pelancaran,” kata komander Endeavour, Dominic Gorie.
Gorie dan krewnya akan berdepan dengan cabaran mendebarkan apabila tiba di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) kerana akan melakukan lima misi berjalan di angkasa, paling banyak berbanding sebelum ini.
Tapak pelancaran penuh sesak dengan warga Kanada dan Jepun yang mewakili dua rakan penting ISS.
Agensi Angkasa Lepas Kanada membekalkan Dextre iaitu robot dua lengan yang dibawa di belakang Endeavour sementara Agensi Angkasa Lepas Jepun menghantar bahagian pertama makmal Kibo.