Angkasawan Malaysia

Thursday, November 29, 2007

Kekalkan momentum angkasawan

BARU 40 hari Program Angkasawan Negara berakhir, media di negara kita seolah-olah sudah lupa matlamat kerajaan yang sebenarnya apabila melaksanakan program ini. Angkasawan kita sepatutnya menjadi ikon bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat dalam sains dan teknologi tetapi media telah menampilkan yang sebaliknya apabila program ini berakhir.
Sejak akhir-akhir ini, akhbar harian lebih cenderung untuk menyiarkan hal-hal yang berkaitan peribadi angkasawan kita. Tindakan ini telah meletakkan status angkasawan kita setara dengan artis popular.
Lebih malang lagi jika ada pihak yang mungkin mengambil keuntungan bagi setiap program yang bakal dihadiri oleh angkasawan kita.
Media sepatutnya menampilkan isu-isu yang berkaitan dengan teknologi apabila membuat liputan berkenaan angkasawan kita. Tindakan sebaliknya akan menyebabkan angkasawan negara tidak akan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Angkasawan perlu dilihat sebagai ejen pengubah minda masyarakat agar terus menguasai teknologi yang lebih tinggi.
Di sebalik pencapaian sesebuah masyarakat, mesti ada individu yang menerajuinya. Jika dilihat sejarah perkembangan teknologi roket Rusia, ia telah dihasilkan oleh seorang yang bernama Sergei Korolyov. Kejujurannya membina teknologi Rusia tanpa mengharapkan balasan suatu yang amat terpuji.
Tidak ada sebarang liputan terhadap dirinya setelah berjaya menghantar satelit pertama dan juga manusia pertama ke angkasa lepas. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab membina roket Rusia yang terkenal iaitu Vostok dan Soyuz.
Masyarakat dunia terutamanya Amerika Syarikat (AS) hanya mengetahui identiti beliau setelah kematiannya pada tahun 1966.
Pihak Soviet Rusia telah memberi penghormatan setelah kematiannya dengan abu mayatnya disemadikan di Kremlin Wall. Bahkan ibunya sendiri tidak mengetahui sumbangan besar yang diberikan oleh Korolyov kepada masyarakat Rusia sehinggalah kematiannya.
Selepas kematiannya tidak ada lagi pencapaian membanggakan bagi pihak Soviet Rusia. Justeru, Amerika dilihat terus mara untuk menyaingi pencapaian Soviet Rusia ketika perang dingin.
China juga adalah antara negara yang membina program angkasa lepas secara sulit. Pengisytiharan kejayaan angkasawan China pertama hanya dilakukan apabila angkasawannya mendarat ke Bumi setelah berada di angkasa selama 22 jam pada tahun 2003. Kejayaan ini mengejutkan dunia termasuklah rakyat di negara itu sendiri.
Setelah program angkasawan yang pertama berjaya, kerajaan haruslah menyusun program yang sesuai untuk angkasawan negara bagi memupuk semangat ingin menguasai teknologi di kalangan rakyat Malaysia.
Pameran dan Persidangan Inovasi Kebangsaan (NICE 2007) merupakan antara aktiviti yang disertai oleh angkasawan negara yang seharusnya mendapat liputan besar-besaran oleh pihak media.
Bagi meneruskan momentum program angkasawan yang sudah hampir dilupakan oleh masyarakat, Institut Kajian Angkasa Malaysia (IKAM) telah mengambil langkah yang proaktif dengan menganjurkan pertandingan roket air yang bakal berlangsung di Senawang pada 2 Disember nanti.
Program tersebut bertujuan bagi memupuk semangat para pelajar di samping memenuhi program cuti sekolah mereka.
Pertandingan roket air bukanlah mainan kanak-kanak. Universiti Teknologi Mara pernah menganjurkan acara ini secara besar-besaran suatu ketika dahulu. VIP telah dijemput untuk merasmikan program ini. Bahkan maklumat berkenaan dengan teknologi dan cara-cara membuatnya boleh didapati dari laman web NASA.
Jika institusi dalam masyarakat kita dapat memainkan peranan bagi meneruskan momentum program angkasawan ini, maka program ini akan dilihat berjaya mengubah minda masyarakat berkaitan dengan sains dan teknologi.
Namun masyarakat lebih mengharapkan agar kemuncak kejayaan program ini apabila kita dapat membawa angkasawan kita dengan menggunakan kenderaan pelancar kita sendiri. Kalau kita bersungguh-sungguh untuk mencapainya, tidak mustahil satu hari nanti, manusia boleh terus pergi ke ruang angkasa dari bumi Malaysia.


http://www.utusan.com.my/keyword_search.asp?NewString=angkasawan&pg=12

Saturday, November 10, 2007

Angkasawan ISS alih modul Harmony

CAPE CANAVERAL, Amerika Syarikat (AS) 9 Nov. – Dua angkasawan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) hari ini dilaporkan membuat misi berjalan di angkasa sebagai persediaan mengalih modul Harmony yang dihantar oleh kapal angkasa Discovery hujung bulan lalu.
Komander ISS, Peggy Whitson dan angkasawan Rusia, Yuri Malenchenko dilapor memulakan misi untuk membuang kabel berlebihan serta memotong beberapa salur elektrik dan cecair di kawasan yang bakal menjadi tapak kekal untuk Harmony.
Modul Harmony, yang akan menjadi penyambung dua lagi modul makmal dari Eropah dan Jepun kelak, sebelum ini dipasang pada satu tapak sementara dan akan memerlukan tiga misi berjalan di angkasa lepas serta melibatkan banyak penggunaan jentera robot ISS.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) hanya dapat meneruskan misi seterusnya bagi menghantar modul makmal dari Eropah yang dikenali sebagai Columbus selepas Harmony berjaya dipindahkan ke tapak kekal yang dicadangkan itu.