Angkasawan Malaysia

Wednesday, October 10, 2007

Kemajuan sains angkasa negara

PENGLIBATAN negara dalam sektor aeroangkasa secara serius dan bersepadu bermula apabila terbentuknya Pelan Induk Pembangunan Industri Angkasa Malaysia pada 1997.
Pelan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad ini secara tidak rasmi meletakkan harapan supaya pembangunan sektor aeroangkasa negara akan menjadi pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia.
Pelan yang sama turut menyaksikan penubuhan sebuah syarikat yang menjurus kepada pembangunan dan penyelidikan (R&D) sepenuhnya dalam bidang aeroangkasa dan merupakan syarikat pertama seumpamanya di negara ini iaitu Astronautics Technology Sdn. Bhd. (ATSB).
Syarikat ini yang mendapat sokongan penuh kerajaan tidak menunggu lama untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara lain dalam persaingan teknologi angkasa dan ia dibuktikan dengan pelancaran satelit mikro pertama negara iaitu TiungSAT-1.
TiungSAT-1 dilancarkan pada 26 September 2000 menggunakan roket pelancar Dnepr di tapak pelancar Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.
Satelit mikro pertama yang berharga RM34 juta ini dibangunkan oleh sekumpulan lapan jurutera dan pensyarah Malaysia melalui program kerjasama pemindahan teknologi dan latihan mendalam dengan Surrey Satellite Technology Ltd (SSTL) yang berpangkalan di Pusat Angkasa Lepas Surrey di Universiti Surrey, United Kingdom.
Ia ditempatkan pada Orbit Rendah Bumi (LEO) pada ketinggian 1,000 kilometer dan mampu bertahan di antara tiga hingga 15 tahun, bergantung kepada kekerapan penyenggaraannya.
Kegunaan satelit ini adalah untuk tujuan pendidikan, perikanan, perhubungan, pengurusan hutan, pengawasan pencemaran, sains angkasa, pemetaan dan ramalan kaji cuaca.
Ia berupaya membawa peralatan canggih, termasuk perkakasan penghantaran data dan suara, muatan kajian saintifik, kamera, alat penderiaan jauh dan sistem kedudukan global (GPS) dan mampu mengesan tahap ozon bumi, kebakaran hutan dan tumpahan minyak.
Ketika ini TiungSAT-1 sedang beredar pada jarak 650 kilometer dari bumi dengan kecondongan 64.5 darjah dan mampu menjanakan gambar yang mempunyai resolusi 78 meter dan menghantar data ke stesen penerima di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kejayaan penghantaran satelit mikro yang pertama negara itu juga telah menyenaraikan Malaysia di kalangan lima buah negara di Asia yang membangunkan teknologi aeroangkasa.
Ia turut mendorong kepada pembangunan tenaga mahir di kalangan anak tempatan dalam bidang aeroangkasa yang mana ATSB ketika ini mempunyai lebih daripada 80 orang jurutera mahir yang pakar dalam enam pengkhususan R&D satelit.
Selepas kejayaan TiungSAT-1 itu juga, ATSB kini sedang menghitung hari untuk melancarkan satelit kedua mereka pula iaitu RazakSAT yang dibina sejak 2000 yang dijangkakan pelancarannya tahun depan.
RazakSAT merupakan satelit remote sensing (penderiaan) Malaysia yang kedua dengan kemampuan setanding dengan satelit remote sensing komersial sedia ada.
Ia dibina dengan kerjasama syarikat SaTReci Co. Ltd. dari Korea dan akan dilancarkan tahun depan dari Pulau Kwajelin, kepulauan Micronesia di Lautan Pasifik oleh roket Falcon 1.
Satelit yang dahulunya dikenali sebagai MACSAT (Satelit Kamera Bukaan Sederhana) itu, ditukarkan kepada RazakSAT oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 7 Ogos 2003 sebagai penghormatan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak.
RazakSAT yang akan membawa kamera imejan kecil ke dalam orbit merupakan satelit pemantau yang berupaya merakamkan imej-imej di permukaan bumi negara.
Resolusi imej yang akan diperolehi oleh RazakSAT adalah 2.5m (pankromatik) dan 5.0m (multispektral), iaitu merupakan 16 kali ganda berbanding resolusi satelit TiungSAT-1.
Kedua-dua ciri ini antara lain akan digunakan untuk melakukan pemetaan prasarana, memantau laluan perkapalan, melakukan pemetaan geologi dan memantau ekosistem marin.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home